Saturday, January 8, 2011

Pelbagai etnik jadikan Malaysia negara unik


sumber asal : new sabah times - http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/44043

MALAYSIA adalah sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, budaya dan adat resam. Perpaduan yang terjalin di antara warga berbilang kaum di negara ini adalah resepi utama kepada kejayaan Malaysia mempertahankan kemerdekaannya. Perpaduan adalah perkara penting setiap negara-bangsa yang bebas dan berdaulat. Ia bukan sekadar suatu perlembangaan, tetapi berupaya mencetuskan keharmonian sosial, kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi.

Sekiranya berlaku perbezaan pendapat, ia akan diselesaikan secara aman melalui sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati antara kaum. Inilah yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan berbeza daripada negara-negara lain di dunia.

Terdapat juga kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum-kaum ini adalah kumpulan etnik majoriti di bahagian Semenanjung Malaysia. Namun begitu, terdapat juga sebilangan kecil kaum ini yang menetap di Sabah dan Sarawak. Kaum Melayu menganut agama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai dialek lain yang bersifat kedaerahan dan keturunan turut dituturkan oleh bangsa Melayu. Kaum ini berpegang kepada adat resam Melayu yang diwarisi daripada generasi terdahulu di dalam kehidupan seharian mereka. Perayaan utama kaum Melayu ialah hari Raya Aidilfitri dan hari Raya Korban.

Kaum Cina kebiasaannya menganut agama Buddha atau Kristian. Terdapat tiga dialek berbeza di dalam Bahasa Cina yang dituturkan oleh masyarakat Cina di Malaysia. Dialek tersebut ialah Hokkien, Kantonis dan Mandarin. Mereka mengamalkan adat resam kehidupan kaum Cina sebagaimana yang diamalkan di Tanah Besar Cina. Perayaan utama masyarakat Cina ialah Tahun Baru Cina.

Kaum India adalah kumpulan etnik terkecil di antara ketiga-tiga kumpulan etnik utama di Malaysia. Mereka kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Tamil dan menganuti Hindu. Mereka juga berpegang teguh kepada adat resam seperti yang diamalkan oleh kaum India di Selatan India. Perayaan utama masyarakat India ialah Deepavali.

Selain daripada tiga kelompok etnik utama itu, Malaysia juga mempunyai kepelbagaian kumpulan etnik peribumi. Kebanyakan etnik peribumi ini terdapat di negeri Sabah dan Sarawak. Namun begitu, Semenanjung Malaysia juga mempunyai penduduk dari kaum etnik peribumi yang dikenali sebagai Orang Asli.

Orang Asli yang terdapat di bahagian Semenanjung Malaysia boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaiatu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Setiap kumpulan etnik Orang Asli ini mempunyai bahasa pertuturan dan budaya adat resam yang tersendiri. Mereka biasanya tinggal di kawasan pedalaman dan jauh daripada kepesatan pembangunan.

Sabah pula mempunyai penduduk yang terdiri daripada lebih daripada 32 suku kaum peribumi. Namun begitu, kaum etnik yang terbesar adalah Kadazandusun, Bajau dan Murut. Kadazandusun adalah kumpulan etnik terbesar di Sabah. Ia terdiri daripada dua kaum iaitu Kadazan dan Dusun yang digabungkan bersama kerana mempunyai bahasa dan budaya yang serupa.

Perbezaan di antara kedua-dua kaum ini adalah dari segi loghat bahasa dan lokasi penempatan mereka. Etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah manakala etnik Dusun menetap di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah. Bajau adalah kumpulan etnik peribumi kedua terbesar di Sabah. Mereka berasal daripada keturunan pelaut yang menyembah ‘ Omboh Dilaut’ ( Tuhan Laut) dan mereka juga dikenali sebagai gipsi laut. Kebanyakan masyarakat Bajau mendiami kawasan Semporna dan Kota Belud. Kaum lelaki masyarakat ini juga digelar sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kemahiran mereka menunggang kuda.

Etnik peribumi ketiga terbesar di Sabah adalah kaum Murut. Secara tradisinya, mereka mendiami kawasan pedalaman di utara Borneo. Mereka menjalankan kegiatan bercucuk tanam dengan menanam padi huma dan ubi kayu. Mereka juga menjalankan kegiatan berburu dengan menggunakan sumpit serta menangkap ikan.

Seperti di Sabah, negeri Sarawak juga kaya dengan keplebagaian kaum dengan memiliki lebih kurang 28 kumpulan etnik peribumi. Bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan etnik utama di Sarawak iaitu daripada suku kaum Iban, Malanau dan Bidayuh. Selain daripada etnik utama ini, Sarawak juga turut dihuni oleh kaum Bisaya,Orang Ulu, Kedayan dan lain-lain.

Suku kaum Iban adalah kumpulan etnik terbesar di Sarawak. Mereka tinggal secara berkumpulan di rumah tradisional yang dikenali sebagai rumah panjang. Kebanyakan daripada masyarakat Iban pada hari ini menganuti agama Kristian tetapi masih mengekalkan amalan tradisi adat resam nenek moyang mereka.

Melanau adalah salah satu daripada masyarakat peribumi utama yang mendiami Sarawak. Pada masa kini, kebanyakan masyarakat Melanau memeluk agama Islam dan Kristian berbanding kepercayaan asal mereka, Animisme. Mereka menjalankan kegiatan menanam padi dan sagu selain menangkap hasil laut.

Dalam pada itu, kebebasan setiap bangsa untuk mengamalkan kepercayaan, adat resam dan kebudayaan masing-masing menjadi asas kepada kesejahteraan negara. Selain dari itu, sikap toleransi antara kaum yang diamalkan turut menjadi benteng kepada anasir-anasir yang boleh mengakibatkan ketegangan hubungan antara kaum. Sesungguhnya perpaduan yang dicapai ini adalah merupakan suatu anugerah yang perlu disyukuri dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My widget | Bookmark | Share

Marketing Blogroll Center

Followers

Blog Archive

 

Copyright 2011 Iban4u My theme by Timberland, J.

hit me

Total Pageviews

Disclaimer

This blog does not host any of the files mentioned on this blog. This blog only points out to various links on the Internet that already exist and some of them are uploaded by other websites or users there. If you have any clarifications to be made or If you find any contents in this site which you think can be offensive contact me & the content will be removed or modified accordingly.

Visitor

hit counter account login page
Get a free hit counter today!
get this

analyzer

SEO Stats powered by MyPagerank.Net