IBAN
Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan.
Pengenalan
Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin. Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Sewaktu Mengandung
Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut;
• Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja.
• Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak.
• Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah.
• Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan.
• Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.
• Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh.
• Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.
Pengenalan
Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu. Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkhawinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.
Merisik
Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan.
Meminang dan Bertunang
Rombongan pihak lelaki biasanya tidak kurang daripada lima orang dan paling ramai dua puluh orang yang terdiri daripada orang-orang tua. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian atau mas kahwin serta lain-lain yang berkaitan. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki menanggalkan lapit atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Seterusnya kedua belah pihak akan berbincang tentang tarikh dan hari perkahwinan. Mulai saat itu, perempuan itu tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna selain tunangnya. Dua atau tiga hari kemudian wakil pihak lelaki akan memaklumkan berita pertunangan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga.
Majlis Perkahwinan
Pengantin masyarakat Iban
Majlis Perkahwinan Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai lima simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa lima hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari.
Upacara miring
Upacara akad nikah
Pada hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin melalui jalan sungai . Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat. Di sepanjang jalan, rombongan yang berpakaian menarik itu akan memukul gong. Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Kemudian mereka mandi beramai-ramai di sungai sebelum memakai pakaian tradisional. Sampai di tangga rumah panjang, kepala rombongan pengantin lelaki dipelawa menyembelih seekor babi sebagai penghormatan dan pada masa itu juga tembakan senapang akan kedengaran secara balas-membalas. Di kepala tangga rumah itu pula, terdapat rangka yang berbentuk seperti kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka tiga buah kota iaitu di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah.
Setelah itu, rombongan pihak lelaki di kalangan kaum wanita akan masuk ke bilik pengantin perempuan, manakala yang lelaki duduk di ruai. Mengikut adat tetamu perempuan hanya dapat masuk ke dalam bilik pengantin perempuan dengan menggunakan bahasa berirama untuk membuka pintu bilik yang dipalang dengan lembing dan ditutup oleh pua kumbu. Para tetamu seterusnya akan dijamu dengan sejenis arak iaitu tuak dan pelbagai jenis air seperti air haus, air dahaga dan air untung. Sambil itu mereka akan bergurau senda dan beramai-ramai menyanyikan lagu dan memukul gendang. Mereka juga akan berpusing di rumah selama tiga kali. Sesudah itu air minuman akan dihantar kepada setiap tetamu dan ini dinamakan air penyuci. Sekiranya perkahwinan berlangsung pada waktu siang, selepas makan tengahari barulah kedua-dua pihak berbincang tentang perihal pengantin dan susur galur mereka. Sekiranya dilangsungkan pada waktu malam, perbincangan dilakukan selepas tengah malam. Mereka akan berbincang dan golongan yang tertua akan melakarkan hubungan antara pengantin lelaki dan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sebelum perbincangan diadakan, tuai rumah sekali lagi akan menghidangkan minuman keras yang dipanggil air perangsang kepada para tetamu.
Setelah mengetahui hubungkait kekeluargaan, denda akan dikenakan kepada mereka. Selepas itu barulah ibu bapa pengantin perempuan meminta berian. Terdapat nilai berian yang telah ditetapkan di kalangan masyarakat Iban. Pihak perempuan juga meminta bayaran memecah tangga iaitu sebilah beliung, bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing, bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang dan pemberian kecil yang lain. Pihak lelaki pula meminta pencuci kaki , sebuah tempayan, sepasang tempat menggantung gong, penolak haluan iaitu sebatang sumpitan, kajang perahu iaitu sehelai kain pua kumbu dan beberapa pemberian kecil lagi. Selepas menjelaskan segala berian, mereka menetapkan pula syarat berhubung dengan berian sekiranya berlaku perceraian. Permintaan tersebut akan hilang setelah berlakunya perceraian yang tidak nyata. Sekiranya perceraian disebabkan oleh pihak lelaki, si suami wajib membayar balik berian yang diterimanya dahulu dan tambahan sebanyak RM50 sebagai denda. Sekiranya berlaku percubaan untuk mencemarkan nama mana-mana pihak, pihak yang bertanggungjawab akan dikenakan denda yang lain.
Seterusnya upacara membelah pinang atau mengulang pinang akan dijalankan. Seorang perempuan akan membawa keluar tepak sirih dan kemudian membelah pinang tersebut . Pecahan pinang itu akan menentukan tempoh masa pengantin perempuan wajib tinggal di rumah suaminya. Kemudian seorang lemambang atau bomoh akan mengadakan upacara menidurkan anak dan mengejutkan anak itu semula dengan beberapa rangkap pantun. Seterusnya pinang tersebut akan diagihkan kepada tetamu danadat ini sekiranya tiada kesalahan adat yang dilakukan oleh kedua belah pihak. Jika tidak pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Untuk adat ini juga mereka perlu memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya kesalahan semasa perkahwinan itu akan hilang pada setiap individu. Selepas mandi, mereka menyembelih seekor babi sebagai korban dan juga sebagai penebus dosa pengantin. Setelah menyucikan diri, pasangan pengantin akan memakai pakaian masing-masing untuk pergi ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, rombongan perlu kelihatan gembira kerana segala kesalahan telah dihapuskan. Seterusnya sambutan yang meriah diadakan pula di rumah pengantin lelaki.
Pada sebelah malamnya, kedua pengantin diiringi oleh pengapit masing-masing dan akan disandingkan di atas gong atau kerusi yang dialas kain tenun. Adat ini juga boleh disamakan dengan adat bersanding di kalangan masyarakat Melayu. Pasangan ini akan disaksikan oleh hadirin di rumah panjang tersebut. Seterusnya seseorang yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan upacara. Ayam yang telah diikat kakinya kemudian dilepaskan dan mentera pun dibaca. Ayam yang telah disembelih itu akan diambil darahnya untuk disemah kepada pengantin. Istiadat ini akan diakhiri dengan jamuan makan dan minum.
Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu. Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai maksud yang tersendiri samada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.
0 comments:
Post a Comment