kaum Iban terkenal dengan keunikan reka bentuk dan unsur-unsur tersirat yang terdapat pada rumah tradisional mereka iaitu rumah panjang. Rumah panjang suatu ketika dahulu dibina dengan menggunakan kayu yang tahan lama seperti kayu belian untuk memastikan keutuhannya. Buluh pula digunakan untuk dijadikan dinding manakala daun rumbia digunakan untuk membuat atap. Namun demikian, perubahan arus masa telah mengubah wajah rumah panjang kaum Iban seiring dengan kemodenan zaman.
Mereka masih mengamalkan adat resam yang diwarisi nenek moyang seperti mengadakan upacara ritual untuk sambutan Hari Gawai, meminum tuak, mempersembahkan tarian Ngajat dan mengamalkan perubatan tradisional. Demikian juga dengan peranan “tuai rumah” (ketua rumah panjang) sebagai pemimpin yang dihormati masih dikekalkan sehingga sekarang.
Manakala tradisi menyimpan “tajau” iaitu sejenis tembikar yang diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain juga masih diamalkan oleh penduduk Iban di Nanga Budu. Terdapat tujuh jenis tajau yang paling tinggi nilainya dalam masyarakat Iban iaitu “sergiu”, “ningka petanda”, “tajau menaga”, “rusa”, “salang-salang” dan “alas.” Kebanyakan tajau-tajau tersebut telah mencecah usia ratusan tahun dan dianggap sebagai harta yang sangat bernilai. Tajau digunakan untuk menyimpan air tuak dan sebagai upah kepada “manang” iaitu pengamal perubatan tradisional. Selain itu tajau juga diperlukan untuk menyempurnakan upacara-upacara tradisi masyarakat Iban seperti ketika berlakunya kematian dan sambutan Gawai Kenyalang.
Tiada maklumat yang diperoleh berhubung dengan sejarah penempatan awal rumah panjang di kawasan Nanga Budu. Bagaimanapun, kewujudan populasi di sesebuah kawasan itu dipengaruhi oleh faktor tanah. Pertambahan populasi di sesebuah rumah panjang telah menyebabkan kawasan tanah untuk bercucuk tanam semakin terhad. Untuk meneruskan kehidupan, sebilangan penghuninya terpaksa berpindah ke tempat lain dan membina rumah panjang baharu di kawasan yang mempunyai tanah untuk bercucuk tanam.
Masyarakat Iban pada zaman dahulu merupakan peneroka awal di hutan rimba. Mereka akan membuka perkampungan baru dan mencari tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam. Tanaman utama ketika itu lebih tertumpu kepada padi bukit.
Bagi masyarakat Iban, sesiapa yang mendapat hasil tuaian padi yang paling banyak, maka beliau akan dianggap kaya dan dipandang tinggi kerana rajin berusaha. Jadi tidak hairanlah, kenapa orang Iban terkenal dengan penanaman padi bukitnya.
Golongan muda pula mempunyai lebih banyak pilihan selain memilih bidang pertanian. Kebanyakan mereka berhijrah dan menetap di kawasan bandar yang menjanjikan peluang pekerjaan lebih baik dan pendapatan lumayan. Belia-belia rumah panjang juga mempunyai pendidikan yang tinggi dan membolehkan mereka bekerja dalam jabatan kerajaan dan sektor swasta.
0 comments:
Post a Comment