sumber asal :
Sekumpulan saintis telah menjumpai seekor pygmy tarsier di atas puncak sebuah gunung di kepulauan Sulawesi, Indonesia. Haiwan yang termasuk di kalangan primat paling kecil dan paling aneh di dunia tersebut, dikatakan sudah lapan dekad tidak ditemui oleh manusia. Masa selama dua bulan diambil oleh sekumpulan saintis bagi menangkap tiga ekor pygmy tarsier ini dengan menggunakan jaring. Tangkapan itu dibuat di Gunung Rore Katimbo di Taman Negara Lore Lindu di tengah Sulawesi pada ketinggian 6900 kaki di atas paras laut.
Kata mereka, kelihatan haiwan yang keempat tetapi tidak berjaya ditangkap. Haiwan ini telah dianggap pupus oleh sebahagian saintis. Seorang saintis, Prof. Sharon Gursky-Doyen, seorang professor antropologi dari Texas A&M University mengambil bahagian di dalam ekspedisi itu. Beliau juga turut digigit pada jarinya oleh haiwan tersebut semasa cuba memasang kolar alat pengesan radio pada haiwan kecil dan comel itu.
"Pembantu saya sedang memegang haiwan itu, manakala saya cuba memasang kolar radio pada lehernya. Tetapi memang sukar untuk memasang alat itu kerana haiwan ini boleh memusingkan kepalanya lebih kurang 180 darjah. Sedang saya cuba menutup klip kolar itu, ia memusingkan kepalanya dan menggigit jari saya. Saya terkejut dan kelihatan jari saya berdarah."
Kolar alat pengesan radio itu dipasang agar pergerakan haiwan itu dapat dikesan. Pygmy tarsier ini adalah haiwan primat yang aneh kerana ia adalah sejenis mamalia yang mempunyai ciri-ciri lemur, monyet, gorila dan manusia. Beberapa spesies tarsier hidup di beberapa kawasan di kepulauan asia. Pygmy tarsier saiznya kecil, dengan berat lebih kurang 50 gram. Mereka mempunyai mata dan telinga yang besar. Mereka ialah pemakan serangga pada waktu malam (nocturnal carnivore) dan antara keanehannya ialah ia mempunyai cakar dan bukannya kuku seperti primat yang lain.
Haiwan ini sudah tidak dilihat oleh saintis sejak 1921. Pada 2000, sekumpulan saintis Indonesia yang sedang cuba memerangkap tikus di tanah tinggi Sulawesi, secara tidak sengaja terbunuh seekor pygmy tarsier. Sejak waktu itu, semua orang percaya bahawa tiada lagi pygmy tarsier wujud di dunia ini kerana pencarian yang dibuat selama beberapa dekad menemui kegagalan dan tiada siapa lagi yang menemui dan dengar tentangnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment